PGA patahkan cubaan seludup sayur, buah-buahan dan beras di Kg Raso 2

Dua buah kenderaan yang digunakan untuk menyeludup berguni-guni hasil pertanian ke Indonesia.
Advertisement

LUNDU, 15 Feb: Cubaan menyeludup keluar berguni-guni sayur, buah-buahan dan beras melalui sempadan Sarawak-Kalimantan di Kampung Raso 2 di sini berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Mancha Ata berkata anggotanya menjalankan rondaan ‘Op Benteng’ apabila terserempak dengan dua buah kenderaan jenis lori dan pikap iaitu sekitar jam 1.30 petang semalam.

Pasukannya lantas menahan serta melakukan pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan tersebut yang kemudiannya didapati dinaiki enam lelaki iaitu seorang warga tempatan dan lima rakyat Indonesia.

Advertisement

“Hasil pemeriksaan kedua-dua kenderaan tersebut juga menemui terdapat pelbagai hasil pertanian, iaitu buah naga sebanyak 28 guni, halia (39), sengkuang (12), kacang buncis (29), petai (13), beras merah (4), dan ubi manis sebanyak 15 guni,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suspek yang ditangkap dalam operasi tersebut.

Tambahnya, kesemua hasil pertanian tersebut yang dianggarkan bernilai RM7,000 dan dua buah kenderaan tersebut dianggarkan bernilai RM103,000 dirampas untuk siasatan lanjut.

“Manakala kesemua suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk siasatan lanjut.

“Tiada kekerasan dan sentuhan badan dilakukan sepanjang pemeriksaan,” katanya.

Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 15 Akta ATIPSOM, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959(Akta 155), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Kastam. — DayakDaily

Advertisement