Oleh: Juetila Ozzy
SERIAN, 11 Dis: Seorang lelaki warga tempatan ditangkap dalam cubaan menyeludup dua pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi ICQS Tebedu di sini semalam.
Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak SAC Mancha Ata berkata lelaki terbabit ditangkap apabila didapati membawa lelaki warga Indonesia terbabit menaiki keretanya semasa ditahan iaitu sekitar jam 11 malam.
Menurut Mancha, pemeriksaan yang dijalankan mendapati kedua-dua warga asing terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Pasukan yang menjalankan rondaan keselamatan di sekitar kawasan ICQS Tebedu telah menahan dan memeriksa sebuah kereta jenis Honda Hybrid.
“Hasil pemeriksaan menahan seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warga Indonesia atas kesalahan memasuki negeri Sarawak tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, ketiga-tiga suspek bersama kereta tersebut kemudian dihantar ke Balai Polis Tebedu untuk siasatan lanjut.
“Kesalahan di bawah Akta Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran (ANTIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002,” katanya.
Sementara itu pada hari yang sama seramai tiga lelaki warga Indonesia diusir keluar selepas cuba memasuki negeri ini melalui jalan tikus di sempadan Sarawak-kalimantan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga lelaki tersebut gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Ketua serbuan telah mengarahkan ketiga-tiga mereka berpatah balik ke indonesia menggunakan laluan yang sama,” katanya.
Siasatan dijalankan dibawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Imigresen 1959 (Akta 155) Seksyen 6(1).
Sepanjang pengoperasian Operasi Benteng Covid, Briged Sarawak PGA telah mencatatkan rampasan keseluruhan sekitar RM1,699,422.00 dengan merekodkan sebanyak 52 Kes yang melibatkan jumlah tangkapan seramai 198 orang (42 orang waraganegara tempatan dan 156 orang pendatang asing tanpa izin). ā DayakDaily