MIRI, 24 Mac: Cawangan Risik Pasukan Gerakan Am Batalion 12 Miri bersama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Khamis menahan sebuah kapal minyak dan kapal tangki dengan muatan 630,000 liter minyak diesel bernilai RM7,703,400 di Tebingan Sungai Baong.
Tangkapan dilakukan dalam operasi kontraban pada jam 11.15 pagi.
Turut ditahan dua juragan kapal tersebut dan beberapa peralatan digunakan menyedut minyak tersebut yang bernilai RM6,000.
Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM 7,709,400.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, tangkapan dilakukan ketika kapal minyak tersebut sedang melakukan transaksi memindahkan minyak diesel bersubsidi yang disyaki di seludup dari sebuah kapal tongkang.
“Hasil siasatan mendapati sebanyak 50,000 liter minyak diesel (RM159,000) di dalam muatan kapal minyak, manakala 580,000 liter di dalam muatan kapal tongkang dengan anggaran nilai RM 1,844,400,” ujar Alexson.
Rampasan dan anggaran nilai kapal minyak adalah RM 3,200,000, manakala RM2,500.00 untuk nilai kapal tongkang.
Pasukan polis turur merampas satu unit meter minyak (liquid control) di dalam kapal minyak dengan anggaran nilai RM5,000 dan satu hos dawai keluli bersaiz 3 inci sepanjang 20 meter di dalam kapal minyak (RM1,000).
Beliau berkata, kedua-dua juragan kapal berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah atas pemilikan minyak diesel tersebut.
“Kedua-dua juragan kapal tersebut ditangkap dan kapal minyak, kapal tongkang serta kesemua minyak diesel dan lain-lain barangan dirampas untuk siasatan selanjutnya,” Alexson berkata.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. — DayakDaily
Advertisement