PGA lakukan lapan serbuan babitkan rampasan RM192,205.44 dalam tempoh seminggu

Kelihatan anggota PGA Briged Sarawak semasa menyoal pendatang asing tanpa izin.

KUCHING, 20 Julai: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak telah melaksanakan lapan serbuan dan 35 tangkapan serta pengusiran membabitkan rampasan barang bernilai RM192,205.44 bagi tempoh 12 hingga 18 Julai 2021.

Komandernya SAC Saini Bongkek berkata jumlah tangkapan membabitkan seramai dua lelaki warga tempatan yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan barang bercukai (kontraban).

Selain itu, terdapat juga pengusiran melibatkan seramai 33 warga asing yang terdiri daripada 23 lelaki dan 10 wanita.

“Kesemua tangkapan dan pengusiran warga asing membabitkan rakyat dari negara Indonesia.

“Pecahan nilai rampasan adalah melibatkan rokok seludup bernilai RM90,805.60, kenderaan berjumlah RM60,000, arak dan minuman keras seludup bernilai RM21,399.84, serta lain-lain rampasan bernilai RM20,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Kesemua tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Akta Imigresen 1963, Akta Kastam 1967, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), dan lain-lain akta yang berkaitan.

Manakala sejak 1 Januari hingga 18 Julai, Briged Sarawak mencatatkan kejayaan bernilai RM27,777,262.56.

“Sebanyak 247 kes yang melibatkan jumlah tangkapan seramai 360 orang termasuk 58 tekong darat (84 lelaki dan 20 wanita warga tempatan, 163 lelaki dan 35 wanita warganegara Indonesia) serta pengusiran seramai 481 orang (401 lelaki dan 80 wanita pendatang tanpa izin warganegara Indonesia).

“Briged Sarawak akan terus komited dalam usaha untuk memperkasakan serta memperketatkan kawalan keselamatan sempadan negeri Sarawak daripada dibolosi sebarang bentuk jenayah rentas sempadan, disamping mengekang penularan wabak Covid-19,” tegasnya. — DayakDaily