PGA gagalkan cubaan menyeludup keluar barang kawalan di Raso, Bau

Antara barang-barang yang dirampas di Kawasan Tanggungjawab Pos Raso.

BAU, 22 Nov: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya mengagalkan cubaan menyeludup keluar barang-barang kawalan melalui Pos Raso, di sini pada Jumaat lepas.

Komandernya SAC Mancha Ata berkata pada jam 6.30 petang, anggotanya telah membuat rondaan di Kawasan Tanggungjawab Pos Raso.

Menurutnya, terdapat dua buah kenderaan jenis pacuan empat roda ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat mencurigakan iaitu tidak jauh dari simpang masuk ke Pos Raso.


“Hasil pemeriksaan ke dalam kenderaan menjumpai barang-barang kawalan merupakan ‘Frozen Chicken Tail’ sebanyak 117 kotak bernilai sekitar RM11,115 dan sosej ayam sebanyak 137 kotak dianggarkan bernilai RM13,152.

“Hasil siasatan awal mendapati barang-barang tersebut hendak dibawa masuk ke Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua barang kawalan tersebut kemudian dirampas bersama dua buah kenderaan yang digunakan menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM114,304.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

“Terdapat juga tangkapan (pemandu) dan bersama barang rampasan kesemuanya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk tindakan selanjutnya,” kata Mancha. — DayakDaily