PGA Batalion 11 rampas lima motosikal curi

Kelihatan motosikal yang dirampas oleh PGA Batalion 11.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 6: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11 berjaya merampas lima buah motosikal pelbagai jenis yang disyaki dicuri menerusi Op Batas yang dilakukan di Ladang Sawit Tong Nibong, Serian dekat sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam serbuan kira-kira pukul 3 pagi, tiada tangkapan dilakukan.


Pegawai Pemerintah PGA Batalion 11, Supt. Rosdi Inai berkata, kejayaan itu merupakan hasil risikan yang dilakukan oleh pasukan risik diketuai Asp Mazlan Mohd Ariff.

Jelasnya, intipan yang dilakukan selama lebih lima jam juga mendapati tiada individu yang mengambil kesemua motosikal tersebut.

“Kesemua motosikal berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk tindakan selanjutnya.

“Nilai rampasan semua motosikal tersebut dianggarkan sebanyak RM10,000,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Rosdi menambah, pihaknya meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan agar tampil membuat laporan untuk membantu siasatan.

Katanya, orang awam tidak perlu takut kerana segala maklumat diri akan dilindungi.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” ujarnya. — DayakDaily