PGA Batalion 11 patah cubaan seludup 232 tong gas memasak

Anggota polis memeriksa sebuah lori yang membawa muatan tong gas memasak.

Oleh Dean Adam

TEBEDU, Mei 24: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11 berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar sebanyak 232 tong gas memasak menerusi satu pemeriksaan di tempat letak kenderaan di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 11, Supt Rosdi Inai, berkata pemeriksaan itu dilakukan pada pukul 7.30 petang selepas mendapati sebuah lori yang dipandu dalam keadaan yang mencurigakan.


Katanya, pemeriksaan ke atas lori yang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun kemudian menemui sejumlah 232 tong gas berisi LPG seberat 14kg jenis Petronas dengan cara disembunyikan bersama kotak-kotak mengandungi air minuman ringan pelbagai jenis.

Kelihatan tong gas memasak yang cuba diseludup keluar.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu lori tersebut gagal mengemukakan ‘Lesen Borong’ KPDNHEP yang sah.

“Seterusnya pemandu bersama kelindan berusia 28 tahun ditahan berserta muatan 232 tong gas dirampas dan dibawa ke Balai Polis Tebedu untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Rosdi menambah, anggaran nilai  rampasan tersebut adalah kira-kira RM175,000.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. — DayakDaily