PGA Batalion 10 rampas rokok dan minuman keras bernilai RM92 ribu

Sanudin (tengah) menunjukkan rokok yang dirampas.

Oleh Dean Adam

SIBU, Mei 10: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 10 berjaya merampas pelbagai jenis rokok dan minuman keras yang dianggarkan bernilai RM92,000 menerusi dua serbuan di Pusat Komersial Jalan Setia Raya, Mukah, dekat sini semalam.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am Batalion 10, Supt Sanudin Md Isa berkata serbuan menerusi Ops Libas itu dilakukan kira-kira pukul 10.30 pagi.


Jelas beliau, pemeriksaan lanjut menemui 655 karton rokok seludup pelbagai jenama di dalam stor kedai di situ.

“Tidak cukup itu, pasukan serbuan turut menemui 128 kotak bir jenama Heineken, Laoshan dan Tiger di situ,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Sanudin menambah, anggaran kesemua barangan rampasan tersebut ialah sebanyak RM92,201.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya. — DayakDaily