Petugas JKM Miri redah perjalanan 3 jam hantar bantuan makanan ke SK Long Jegan

Petugas JKM Miri tiba dengan bantuan makanan di SK Long Jegan.

KUCHING, 28 April: Petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Miri redah perjalanan lebih tiga jam bagi menghantar bantuan makanan ke SK Long Jegan di Beluru.

Menggunakan kenderaan pancuan empat roda, bantuan makanan disalurkan setelah sekolah tersebut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula 23 April sehingga 6 Mei 2021.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), sekatan pergerakan dikuatkuasakan selepas beberapa orang guru di sekolah berkenaan dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19.


Sepanjang tempoh itu, semua murid dan pekerja termasuk guru telah dikuarantin di sekolah berkenaan sementara menunggu ujian calitan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam masa terdekat.

Sebanyak 52 pek makanan asas termasuk dua pek susu dan lampin pakai buang telah disalurkan ke SK Long Jegan. — DayakDaily