Petugas barisan hadapan terima penghargaan dan tepukan gemuruh Agong bersama Ahli-Ahli Dewan Rakyat

A stethoscope. - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 18: Pengorbanan petugas barisan hadapan dalam menangani wabak Covid-19 mendapat tepukan gemuruh semua Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah ia sebagai tanda penghargaan negara kepada usaha yang telah mereka diberikan.

Advertisement

“Pengorbanan mereka tidak pernah mengenal erti penat mahupun takut hinggakan nyawa dan keselamatan diri sendiri menjadi taruhan demi menjaga kemaslahatan dan kepentingan orang ramai.

“Justeru, sebagai tanda penghargaan negara marilah bersama sama dengan Beta untuk berdiri dan memberikan tepukan gemuruh kepada wira dan wirawati petugas barisan negara,” titah Baginda.

Titah Baginda lagi, istiadat (pembukaan persidangan) pada hari ini diadakan dalam suasana yang agak berbeza dari norma dan kelazimannya.

Menurut Baginda, negara pada masa ini masih lagi dalam usaha memerangi penularan wabak Covid-19 yang telah mula-mula dikesan menjangkiti rakyat Malaysia pada awal bulan Februari yang lalu.

“Namun demikian, kita telah menghadapi dan menangani wabak ini dengan bersatu padu sebagai sebuah bangsa Malaysia yang kuat, cekal dan berdisiplin.

“Dalam saat getir ini, petugas barisan hadapan negara telah tampil dengan penuh dedikasi yang tinggi menghadapi serangan wabak ini,” titah Baginda.

Penghargaan negara tersebut khusus untuk petugas barisan hadapan terutamanya perkhidmatan kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia, dan Polis Diraja Malaysia.

Turut menerima penghargaan daripada Baginda ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia. — DayakDaily

Advertisement