Agong: Muhyiddin layak dilantik sebagai Perdana Menteri

Parliament of Malaysia crest. - file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 18: Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada Titah Diraja bersempena Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini, Baginda bertitah perlantikan telah dilaksanakan dengan telus dan adil selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

“Pada 24 Februari 2020 yang lalu, naratif landskap politik negara telah sekali lagi digegarkan menerusi peletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-7.

“Sekitar jam 5 petang pada hari yang sama, Beta telah berkenan menerima menghadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dalam pertemuan tersebut, Beta telah meminta Dr Mahathir untuk tidak meletak jawatan. Namun beliau tetap dengan keputusannya,” titah Baginda.

Menurut Baginda lagi, YDP Agong bertanggungjawab untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu seperti mana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

Titah Baginda, Perkara 43 memberi kuasa budi bicara kepada Baginda (YDP Agong) untuk melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Lantaran itu, pada 25 dan 26 Februari 2020, Beta telah mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka.

“Pada 29 Februari 2020, Beta telah menitahkan semua parti-parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

“Atas permintaan beberapa ketua parti politik, Beta telah berkenan pula untuk melanjutkan tempoh masa bagi parti-parti politik mengemukakan pencalonan mereka agar masa yang cukup diberikan dalam mereka membuat perhitungan secara demokrasi,” titah Baginda.

Mengulas lanjut, Baginda bertitah bahawa kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan dengan tanpa ada penghujungnya.

“Setelah melalui semua proses tersebut dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Beta telah mendapati Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8,” titah Baginda lagi.

Baginda menaruh keyakinan bahawa usaha-usaha kerajaan di bawah kepimpinan Muhyiddin membawa negara untuk terus mendaki persada kejayaan yang lebih tinggi akan menjadi kenyataan. — DayakDaily