KUCHING, 11 April: Petroliam Nasonal Berhad (Petronas) pada Ahad lepas (9 April) mengagihkan 200 sumbangan kepada golongan asnaf di sekitar Balingian.
Ia adalah Program Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) dalam mengimarahkan bulan Ramadan.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), program tersebut diadakan di Masjid Darul Taqwa Balingian dengan 400 pek bubur pedas turut diedarkan kepada masyarakat sekitarnya.
Ia turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi.
Menurut Pengurus Besar Kanan Aset Sarawak Petronas Anuar Ismail, nama Balingian amat terkenal dalam industri gas dan minyak di Sarawak.
Katanya, Petronas mempunyai lapangan gas dan minyak di luar pantai terletak kira-kira 100 kilometer dari Bintulu yang dinamakan sebagai ‘Balingian Base’.
Katanya, telaga itu telah menghasilkan minyak sejak tahun 1978 dan masih lagi membekalkan gas kepada SESCO dan juga kepada industri-industri di Bintulu. — DayakDaily