Petronas Carigali Sdn Bhd, DBKU dinobat Juara Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak ke-10

Abang Johari (tiga kiri) menyampaikan anugerah kepada wakil Petronas Carigali Sdn Bhd (Aset Sarawak).

KUCHING, 14 Dis: Petronas Carigali Sdn Bhd (Aset Sarawak) dinobat sebagai Juara Kategori Perusahaan Besar di Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak ke-10 Siri 2021/2022.

Anugerah telah disampaikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di sini, malam ini.

Manakala Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) pula dipilih sebagai Juara bagi kategori Pihak Berkuasa Tempatan.


Anugerah merupakan salah satu inisiatif kerajaan Negeri untuk memberi pengiktirafan dan menggalakkan semua sektor industri untuk mengutamakan pengurusan alam sekitar dengan baik.

Selain industri, ia juga melibatkan sektor kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Lima kategori yang dipertandingkan dalam anugerah tersebut ialah industri, pihak berkuasa tempatan, sektor kerajaan, terbuka, kedai makan dan makanan termasuk 12 sub-kategori.

Manakala bagi kategori industri terbahagi kepada enam sektor ekonomi yang berkenaan dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid 19 2030 (PCDS 2030) dan ‘National Economic Definition’. — DayakDaily