Oleh Chris Bishop
KUCHING, 7 Dis: Projek Perumahan Petra Vistana (Taman Koperkasa) di Jalan Matang membantu mengurangkan masalah perumahan di Bandaraya Kuching.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia juga membantu anggota Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad (Koperkasa) untuk memiliki rumah.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Koperkasa kerana telah berjaya melaksanakan projek ini.
“Saya yakin ini satu permulaan yang baik kepada Koperkasa yang ahli-ahlinya adalah anggota kerajaan negeri dan persekutuan selain syarikat berkaitan kerajaan,” katanya.
Abang Johari berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Petra Vistana (Taman Koperkasa) hari ini.
Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Projek Perumahan Petra Vistana dijangka siap dalam tempoh 8 tahun (2022-2030) dan meliputi 739 unit rumah teres, 68 unit rumah semi-D, 28 unit rumah ‘detached’ dan 40 unit rumah kedai. — DayakDaily