SARATOK: Seorang petani yang dipercayai dalam perjalanan pulang dari kebunnya meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas menjadi mangsa langgar lari sekitar jam 7.20 malam semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Bingkok John berkata kemalangan berlaku di Kilometer 53 Jalan Sarikei-Betong dan mangsa lelaki dikenali sebagai Lemong Landi berusia 63 tahun dari Mendas Asal, di sini.
“Kemalangan jalan raya melibatkan seorang pejalan kaki dilanggar lari oleh kenderaan yang tidak diketahui dan kebetulan sebuah ambulan dalam perjalanan balik dari Sibu melalui tempat kejadian lalu terus mengejarkan mangsa ke Hospital Saratok.
“Bagaimanapun, mangsa semasa menerima rawatan di Unit Kecemasan telah disahkan meninggalkan dunia pada jam 8.30 malam,” kata Bingkok.
Tambahnya, siasatan masih diteruskan untuk mengesan saksi bebas dan juga kenderaan yang melanggar mangsa.
Bedah siasat mayat mangsa dijadualkan dijalankan hari ini pada jam 2.30 petang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.