Pesta Kaul Mukah 2023 platfrom tarik pelancong

Hanifah (tiga dari kanan) menyampaikan hamper kepada salah seorang penduduk ketika hadir sama meraikan Pesta Kaul Petanak. Foto: TVS

KUCHING, 27 Feb: Pesta Kaul Mukah boleh menjadi salah satu produk tarikan pelancong dari serata dunia, kata Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib.

Menurut laporan TVS, Hanifah yang juga MP Mukah berkata, ia juga menjadi platform bagi peniaga-peniaga kecil dalam memperkenalkan produk tempatan.

“Harapan saya agar program dan acara sebegini dapat memberi manfaat dan faedah kepada semua komuniti kampung.


“Kaul telah dianggap sebagai medan penyatuan komuniti terbesar kaum Melanau dan merupakan acara yang cukup unik dalam memahami adat budaya terutama bagi suku etnik Melanau di Mukah,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Kaul Petanak yang diadakan di Pantai Petanak di sini pada semalam.

Pesta Kaul Mukah 2023 akan diadakan mulai 26 April hingga 1 Mei depan di Tapak Kala Dana Mukah, manakala Kaul Serahang Kakan diadakan pada 11 Mac ini.

Tambah Hanifah, pelbagai langkah dilakukan untuk mengekalkan budaya Melanau dan salah satu daripadanya adalah untuk mengekalkan Kaul di peringkat kampung.

Katanya, ini bertujuan memberi peluang kepada generasi muda untuk turut sama menyertai acara yang penuh tradisi ini.

“Kita berharap dengan usaha yang dilakukan pelbagai pihak pada hari ini dapat dimanfaatkan oleh orang ramai supaya sejarah masyarakat kaum Melanau ini tidak dilupakan,” ujar Hanifah. — DayakDaily