Oleh Chris Bishop
KUCHING, 11 Sept: Penganjuran Pesta Benak 2022 selama tiga hari bermula 9 hingga 11 September ini mampu menjana pulangan sekitar RM1.95 juta.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Benak 2022 Elvis Didit, ia dijana melalui aktiviti-aktiviti ekonomi di sepanjang tempoh pesta yang sekaligus memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Pulangan ini dijana melalui aktiviti penyediaan bilik penginapan, penyediaan pengangkutan, jualan makanan dan minuman serta penyediaan perkhidmatan promosi dan publisiti,” katanya dalam ucapan aluan perasmian.
Pesta Benak 2022 telah dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Tebingan Bandar Simanggang pada semalam.
Tambah Elvis yang juga Timbalan Residen Sri Aman, dianggarkan seramai 50,000 pengunjung datang ke Pesta Benak Edisi Ke-19 ini.
Katanya, beberapa faktor positif telah membantu menarik kedatangan lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara kali ini.
“Pintu masuk sempadan Lubok Antu-Badau telahpun dibuka. Maka, pelancong-pelancong dari dari Kabupaten Kapuas Hulu dan Kabupaten Sintang dalam Provinsi Kalimantan Barat sudah boleh memasuki Sarawak.
“Kedua, Lebuhraya Pan-Borneo yang menghubungkan Sri Aman-Kuching sudah hampir siap sepenuhnya. Kini tinggal bahagian dari Temudok Interchange-Simpang Pantu sahaja yang masih belum siap.
“Oleh itu, perjalanan dari Sri Aman-Kuching kini bukan sahaja jauh lebih selesa tetapi juga semakin pendek dari segi masa,” ujar Elvis.
Bagi menampung keperluan penginapan di masa hadapan, beliau mencadangkan agar pihak berkaitan membangunkan industri inap desa samada dalam bentuk ‘homestay’ atau ‘villagestay’ di kampung ataupun rumah panjang berdekatan Bandar Simanggang.
Tahun ini, katanya, ramai yang kecewa tidak dapat berkunjung atau mengambil bahagian dalam aktiviti yang diadakan disebabkan oleh kekurangan bilik penginapan di Bandar Simanggang.
Antara aktiviti yang diadakan sepanjang tempoh pesta kali ialah perlumbaan dan pertandingan seperti Regatta Benak, Benak Road Trail Run, Miss Tourism Benak, Ratu Kebaya Benak, Mr Benak, fotografi, Benak Idol, serta Seni Suara dan Gaya Burung Berkicau.
Aktiviti lain ialah hiburan dan pameran serta pertunjukan seperti Luncur Benak, Benak Big Bike Gathering, Benak Fun Ride serta persembahan bunga api pada malam kemuncak. — DayakDaily