KUCHING, Mei 22: Para peserta skim penanaman kelapa sawit di bawah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) akan menerima dividen sebelum sambutan Hari Gawai Dayak pada Jun 1 depan.
Dividen yang dibayar itu adalah bagi para peserta yang menyertai program pembangunan tanah yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri menerusi SALCRA dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi masyarakat luar bandar.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah menyatakan persetujuan berhubung pembayaran dividen tersebut kepada para peserta SACLRA semalam.
Jelas beliau, persetujuan itu telah dicapai selepas satu mesyuarat tentang perkara berkenaan diadakan di sini.
“Ya, pembayaran dividen kepada para peserta SALCRA akan dibuat sebelum sambutan Hari Gawai Dayak tahun ini,” katanya di sini semalam.
Pembayaran dividen tersebut dilakukan dua tahun sekali kepada para peserta SALCRA, iaitu bayaran pertama sebelum Hari Gawai Dayak, manakala bayaran kedua pada Januari.
Pembayaran dividen itu diibaratkan sebagai ganjaran kepada semua peserta yang bekerja keras mengusahakan ladang kepala sawit.
Antara lain, pemberian dividen tersebut diharapkan dapat menyuntik semangat para peserta bekerja lebih gigih bagi mendapatkan hasil sawit yang lebih lumayan.
Penyertaan peserta ke dalam skim penanaman sawit SALCRA itu ternyata berjaya menaik taraf hidup para peserta menerusi bukti nilai bayaran wang dividen berkenaan.
Kerajaan negeri juga mengalakkan para penduduk terutama sekali pemilik tanah hak adat bumiputera (NCR) untuk menyertai skim penanaman kelapa sawit yang dikendalikan oleh SALCRA.
Ini kerana, kerajaan negeri menggalakkan hasrat penduduk yang ingin menyertai skim penanaman sawit SALCRA kerana ia merupakan salah usaha oleh pihak kerajaan untuk mempertingkatkan taraf hidup penduduk dari kawasan luar bandar. — DayakDaily