Pesara dari Padawan rugi RM216,000 akibat scam panggilan telefon

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay
Advertisement

KUCHING, 1 Julai: Seorang lelaki yang juga pesara berusia 60 tahun dari Daerah Padawan kerugian RM216,000 melalui satu kes scam pangggilan telefon.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, kes berlaku di pertengahan bulan sehingga penghujung Jun ini.

“Mangsa telah menerima panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali dan memperkenalkan diri sebagai Umi Hani dari DHL Melaka.

Advertisement

“Suspek mengatakan mangsa ada menghantar satu bungkusan mengandungi satu buku cek dan token dari Melaka ke Kedah.

“Suspek turut mengatakan bahawa bungkusan tersebut telah dihantar kepada pihak polis untuk siasatan dan mangsa perlu membuat laporan polis atas talian sebagai penafian.

“Mangsa didakwa terlibat dengan kes jenayah pengubahan wang haram,” kata Mancha dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, panggilan telefon telah disambungkan ke Bukit Aman dan mangsa bercakap dengan seorang suspek yang mneyamar sebagai inspektor polis.

Kata Mancha, suspek telah mengarahkan mangsa mengeluarkan semua wang persaraan untuk dipindahkan ke beberapa akaun yang berbeza bagi tujuan siasatan polis.

Mangsa dalam keadaan panik seterusnya telah melakukan 8 transaksi ke 5 akaun yang berbeza.

“Setelah melakukan transaksi, mangsa menyedari sudah ditipu apabila suspek masih menghubungi dan mengarahkannya merahsiakan perkara tersebut.

“Jumlah kerugian mangsa ialah RM216, 000,” kata Mancha. — DayakDaily

Advertisement