Peruntukan RM2.5 juta dari Kerajaan Sarawak bagi yuran tadika, taska bantu ibu bapa

Hasidah menyampaikan sijil anugerah cemerlang kepada salah seorang kanak-kanak.
Advertisement

KUCHING, 8 Feb: Peruntukan sebanyak RM2.5 juta daripada kerajaan negeri untuk tujuan yuran tadika dan taska membantu meringankan bebanan ibu bapa.

Menteri Undang-Undang, MA63, Perhubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, ia juga memastikan anak-anak mendapat pendedahan pembelajaran yang berkualiti.

“Kerajaan Sarawak sejak 2019 juga telah memperuntukan RM5,000 setahun untuk setiap institusi tabika dan taska KEMAS di seluruh negeri di bawah Geran Tahunan Khas.

Advertisement

“Tujuan geran ini disalurkan adalah untuk pembelajaran yang menyeronokkan, ini adalah untuk guru-guru membeli alat-alat bantu mengajar untuk anak-anak.

“Selain itu, geran ini juga untuk menggalakkan guru-guru menghadiri kursus yang boleh meningkatkan mutu dan kualiti kerja,” katanya.

Hasidah berkata demikian dalam ucapan di Hari Apresiasi Kanak-Kanak Tabika dan Taska Permata Kemas bagi Parlimen Petra Jaya di Pusat Konvensyen Penview di sini, hari ini.

Menurut beliau, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan sehingga disember 2022, seramai 9.19 juta adalah terdiri daripada kanak-kanak iaitu 28.14 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

Justeru kata Hasidah, mengambil kira jumlah kanak-kanak yang begitu besar kerajaan negeri Sarawak telah melaksanakan pelbagai inisiatif demi kepentingan dan kesejahteraan kanak-kanak. — DayakDaily

Advertisement