Peruntukan RM133 juta bagi pemasangan paip air dari Serian ke Gedong-Simunjan

Abang Johari (dua kiri) memotong pulut kuning sebagai simbolik Perasmian Ramah Tamah Aidilfitri Dan Gawai di Simunjan. Foto: UKAS

SIMUNJAN, 20 Mei: Kerajaan meluluskan peruntukan RM133 juta bagi projek penyambungan paip dari Loji Rawatan Air Slabi di Serian ke Gedong dan Simunjan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaannya memakan masa selama 36 bulan.

Katanya, ia adalah bagi memastikan daerah Gedong dan Simunjan tidak lagi mengalami masalah bekalan air.

“Kita telah membuat keputusan bahawa ada 2 sumber air yang datang ke daerah Gedong dan Simunjan.

“Satunya sumber dari Kuching dan yang kedua ialah dari Serian iaitu Loji Rawatan Air Slabi.

“Jadi kalau ada musim panas, sumber air sentiasa ada, dan kedua-dua sumber ini akan mengisi air ke tangki paras tinggi yang membekalkan air ke Simunjan dan Gedong,” katanya.

Abang Johari berkata demikian di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Gawai di Dewan Mesra Simunjan hari ini.

Tambah beliau, penyambungan paip tersebut akan melalui jalan baharu yang menghubungkan Serian ke Gedong.

“Ini pendekatan kita bagi tempoh jangka panjang, kita membina jalan baharu.

“Oleh sebab itu, bekalan air, elektrik dan infrastruktur akan menjadi tulang belakang dalam kita membangunkan Simunjan dan Gedong,” ujar Abang Johari. — DayakDaily