Peruntukan RM100 juta untuk JKKK pada tahun 2020

The Sarawak Legislative Assembly complex.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Nov 4: Kerajaan negeri memperuntukan RM100 juta untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pada tahun 2020.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada ucapan Belanjawan Tahun 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini berkata peruntukan tersebut khusus untuk penganjuran aktiviti JKKK.


Peruntukan itu juga adalah bagi bayaran elaun mesyuarat dan bayaran elaun bulanan kepada pengerusi dan setiausaha JKKK.

“Kita mengiktiraf peranan dan sumbangan JKKK sebagai pemimpin akar umbi yang memastikan keselamatan dan kemakmuran kampung.

“Ia sekaligus menyumbang kepada keharmonian dan perpaduan pelbagai komuniti di negeri ini,” katanya.

Oleh yang demikian, tambah Abang Johari, pengurusan JKKK harus dimantapkan lagi selari dengan kemajuan yang sedang berlaku pada masa kini.

Ahli-ahli JKKK, katanya, harus dipersiapkan dengan pengetahuan dan menjadi lebih proaktif.

Pada ucapan belanjawan sebentar tadi, Abang Johari mengumumkan kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan RM9.891 bilion bagi Belanjawan Negeri 2020.

Daripada jumlah itu RM6.597 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM3.294 bilion untuk perbelanjaan operasi.

Belanjawan kali ini bertemakan ‘Mempercepatkan pembangunan untuk kesejahteraan semua rakyat Sarawak’. — DayakDaily