Peruntukan RM1.5 bilion kepada GKCDA manfaat 9 konstituensi

Sagah (berdiri) mengajukan soalan semasa mini lab 'Tarat Mini Lab-Greater Kuching Coordinated Development Agency'. Foto: Ukas
Advertisement

KUCHING, 30 Jan: Peruntukan RM1.5 bilion oleh kerajaan Sarawak kepada Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) adalah untuk pembangunan di sembilan konstituensi di bahagian Kuching dan Serian.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Pengerusi GKCDA Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, ia melibatkan Tanjung Datu, Opar, Tasik Biru, Serembu, Mambong, Tarat, Tebedu, Bukit Semuja dan Kedup.

“GKCDA ini merupakan antara strategi kerajaan Sarawak untuk mempercepatkan pembangunan di negeri ini terutamanya melibatkan kawasan bahagian Kuching dan Serian,” katanya memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

Advertisement

Beliau berkata demikian semasa merasmikan ‘Tarat Mini Lab-Greater Kuching Coordinated Development Agency’ di Serian pada Ahad (29 Jan).

Sagah yang juga Adun Tarat memberitahu, penganjuran ‘Mini Lab’ ini adalah untuk mengumpul idea dan pandangan dalam memastikan usaha yang lebih bersepadu demi pembangunan yang strategik di kawasan Tarat.

Katanya, fokus utama dalam mini lab ini adalah ‘pembangunan rakyat’ dengan para peserta diberi peluang untuk memberi cadangan projek atau program yang sesuai dilaksanakan di DUN Tarat.

Lab dimulakan dengan sesi taklimat “Introduction of Greater Kuching Coordinated Development Agency’ oleh Ketua Pegawai Eksekutif GKCDA, Datu Ik Pahon Joyik. — DayakDaily

Advertisement