Pertubuhan penduduk digesa pohon Geran Komuniti 2019

Masyati (empat kanan) menerima plaq dari Georgina sebagai simbolik perasmian #ros_care Jelajah HiPER'19 di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 24 Ogos: Kerajaan pusat, menerusi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), telah memperuntukkan RM600,000 untuk membantu Persatuan Penduduk di Sarawak.

Ketua pengarah ROS Masyati Abang Ibrahim berkata bantuan yang dikenali sebagai “Geran Komuniti 2019 (G-KOM2019)” adalah bertujuan untuk menjalankan aktiviti komuniti, keselamatan, pembersihan dan program kebersihan.


“G-KOM2019 merupakan insiatif kerajaan persekutuan untuk membantu persatuan penduduk dalam memantapkan kawalan keselamatan di kejiranan.

“Ianya selaras dengan objektif pemberian geran, iaitu bagi tujuan memperkasakan pertubuhan dan memastikan keselamatan, keamanan negara terjamin dan kesejahteraan rakyat terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Program#ros_care Jelajah HiPER’19 JPPM Peringkat Zon Borneo (Bumi Kenyalang) di sini, hari ini.

Inisiatif tersebut, tambah Masyati, turut dipanjangkan pelaksanaannya kepada penganjuran aktiviti kejiranan dan penyelenggaraan awam.

“Ianya juga merangkumi program pencegahan jenayah dan program pencegahan penyalahgunaan dadah di peringkat akar umbi,” katanya.

Oleh demikian, beliau menggesa pertubuhan penduduk yang masih belum memohon Geran Komuniti 2019 untuk memohon dengan kadar segera sebelum 30 September, 2019, di pejabat ROS negeri Sarawak.

Katanya, geran sejumlah RM10,000 akan diberikan kepada pertubuhan penduduk yang telah memohon dan mendapat kelulusan untuk tujuan tersebut.

Kerajaan persekutuan memperuntukkan sejumlah RM20 juta melalui Geran Komuniti 2019 di seluruh negara.

Turut hadir di majlis tersebut pengarah ROS negeri Sarawak, Georgina Apphia Ngau. —DayakDaily.