Geran MyICE dibuka kepada pertubuhan berdaftar


KUCHING, 23 Feb: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS Sarawak) menggesa pertubuhan berdaftar memohon peruntukan bagi Program Malaysian Incentive Community Empowerment (MyICE) bagi pemberian geran sehingga RM10,000.

Pengarahnya Georgina Apphia Ngau berkata, ia dibuka kepada pertubuhan berdaftar bagi 4 kategori yang dinyatakan dengan mengisi dan melengkapkan borang permohonan di dalam sistem permohonan MyICE.

Katanya, ia boleh dipohon melalui sistem eROSES di alamat www.eroses.gov.my.
“Permohonan perlu dikemukakan atas nama pertubuhan melalui Setiausaha Pertubuhan dan bukan secara individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Permohonan MyICE boleh dibuat mulai 1 Februari 2022 sehingga 31 Mei 2022.

Empat kategori tersebut adalah kategori kebajikan, keselamatan, hak asasi dan sosial.

Tambah Georgina, pada 29 Oktober 2021 kerajaan telah meluluskan peruntukan bagi Program MyICE melalui pemberian geran sehingga RM10,000 kepada 2,000 pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Sehingga tahun 2019 katanya, JPPM telah berjaya menyalurkan peruntukan secara keseluruhan berjumlah RM79.9 juta lebih kepada 8,146 pertubuhan.

“Pada tahun 2019, pihak Kementerian juga telah menjalankan kajian bagi menilai keberkesanan program pemberian Geran kepada Pertubuhan.

“Serta mengenal pasti manfaat dana ini kepada komuniti dari aspek keselamatan dan kesejahteraan termasuk pencegahan jenayah dan aktiviti kejiranan.

“Rumusan daripada kajian mendapati bahawa majoriti atau lebih daripada 50 peratus pertubuhan telah bersetuju bahawa penyaluran geran ini sangat bekesan dalam membantu meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat,” katanya. — DayakDaily