Pertandingan empat penjuru DUN Batang Ai

Richard (tiga dari kiri) mengumumkan empat calon yang bakal bersaing di DUN Batang Ai.

KUCHING, 6 Dis: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.34 Batang Ai pada Piliharaya Negeri(PRN) kali ini menyaksikan pertarungan empat penjuru.

Penyandangnya Datuk Malcolm Mussen Lamoh dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dicabar calon dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan calon bebas.

Mussen yang mempertahankan kerusi tersebut buat kali ketiga ditentang bekas MP Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak daripada PSB.


PBK meletakan calonnya Usup Asun manakala John Linang Mereejon sebagai calon bebas.

Proses penamaan calon bagi DUN Batang Ai pagi tadi diadakan di Dewan Kompleks Sukan Daerah Lubok Antu.

Perkara tersebut diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Batang Ai Richard Ngumbang selepas selesai proses penamaan calon yang dibuka pada pukul 9 pagi tadi.

Mussen Lamoh bertanding buat kali pertamanya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Batang Ai berikutan kematian wakil rakyatnya iaitu Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Februari 2009.

Mussen yang mewakili Parti Rakyat Sarawak (PRS) menang PRK tersebut dengan memperoleh majoriti 1,854 undi mengalahkan pencabarnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jawah Gerang.

Mussen memperoleh 3,907 undi, manakala Jawah hanya mendapat 2,053 undi.

Beliau kemudiannya mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihanraya Negeri ke-10 (PRN10) yang diadakan pada 2011 dengan majoriti 2,741 undi mengalahkan calon PKR Nicholas Bawin Anggat.

Pada pertandingan satu lawan satu itu, Mussen memperoleh 4,460 undi manakala Nicholas memperoleh 1,719 undi.

Pada PRN11 yang diadakan pada 2016, Mussen sekali lagi mempertahankan DUN Batang Ai dengan majoriti besar 3,186 undi mengalahkan calon PKR Kolien Liong.

Mussen memperoleh 4,884 undi manakala Kolien memperoleh 1,698 undi. ― DayakDaily