Pertama kali kes pulih Covid-19 atasi kes positif baharu

Covid-19 file photo

KUCHING, 29 Okt: Buat Pertama kalinya, angka kes pulih daripada jangkitan Covid-19 dilaporkan lebih tinggi daripada kes positif baharu hari ini sejak wabak itu mula dikesan.

Ketua pengarah kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejumlah 685 kes pulih dilaporkan seluruh Malaysia berbanding 649 kes jangkitan baharu.

Beliau berkata, perkembangan tersebut memberikan petunjuk baik menjadikan kumulatif kes sembuh di seluruh negara meningkat kepada 19,757 atau 65.66 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang di laporkan setakat ini.


“Sabah mencatatkan jumlah kes pulih tertinggi hari ini dengan 458 kes diikuti Selangor (94), Kedah (68), Labuan (18), Negeri Sembilan (15), Pulau Pinang (13), Melaka (9), manakala Sarawak dan Kuala Lumpur masing-masing empat kes dan Johor (2 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sejumlah 649 kes jangkitan baharu dilaporkan di seluruh negara sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes positif yang dilaporkan kini melepasi angka 30 ribu kepada 30,090 kes.

Jumlah kes baharu tersebut, ujar beliau, menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 10,087 kes.

Katanya, daripada 649 kes baharu itu, tujuh merupakan kes import yang dikesan mendapat jangkitan di luar negara.

“Dimaklumkan pada hari ini, negeri Sabah mencatatkan sebanyak 352 kes atau 54.2 peratus dan negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 159 kes atau 24.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Keempat-empat negeri ini telah menyumbang sebanyak 511 kes atau 78.7 peratus daripada jumlah harian kes positif Covid-19 secara keseluruhan dan kesemua negeri-negeri ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sebanyak 36 kes (5.5 peratus) yang berkaitan kluster-kluster penjara dilaporkan pada hari ini iaitu 34 kes daripada Kluster Tembok dan dua kes daripada Kluster Penjara Reman,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, lima cluster baharu turut dikesan di dua daerah di Sabah dan Selangor, selain membabitkan tiga daerah di Negeri Sembilan.

Katanya, lima kluster itu ialah Kluster Sakti di Lahad Datu, Sabah; Kluster Tuguson di Kota Belud, Sabah; Kluster Bah Medan di Sepang, Selangor; Kluster Taman Laut di Petaling, Selangor dan Kluster Taman Bunga membabitkan daerah Seremban, Kuala Pilah dan Jelebu di Negeri Sembilan.

“Masing-masing sejumlah 18 kes positif dikesan bagi Kluster Sakti dan Kluster Tuguson dengan keduanya mencatatkan 11 kes baharu.

“Bagi Kluster Bah Medan pula, sebanyak 20 kes positif dikesan termasuk empat kes baharu dan Kluster Taman Laut pula membabitkan enam kes positif, termasuk dua kes baharu.

“Manakala bagi Kluster Taman Bunga pula membabitkan 23 kes dikesan positif dengan 16 kes baharu,” katanya. –DayakDaily