Pertahankan Sarawak demi generasi muda akan datang—ADUN Repok

Abang Johari (dua kanan) menerima cenderahati dari Huang di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 di Dewan Central Sarikei.

SARIKEI, 28 Jan: ADUN Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii menggesa anak Sarawak untuk mempertahankan negeri ini demi generasi muda pada masa akan datang.

Berucap di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 di Dewan Central Sarikei hari ini, beliau berkata hanya anak Sarawak yang tahu masalah Sarawak.

“Bumi Kenyalang merupakan sebuah bumi yang indah, kaya dengan hasil bahan mentah di mana ia telah menjadi rebutan orang ramai.


“Bumi hijau kita yang subur ini, hanya anak Sarawak tahu cara menanam, menyiram dan memberi baja di tanah kita. Anak Sarawak cukup bijak menguruskan hasil tanah kita sendiri.

“Kita tidak perlukan orang luar dan kita boleh membuahkan hasil tanah di Sarawak mengikut acuan kita sendiri.

“Acuan ini cukup jelas di bawah kepimpinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak(GPS),” katanya.

Majlis itu dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah.

Pada ucapannya juga, Huang turut menyeru kepada semua yang hadir dan seluruh warga Bahagian Sarikei amnya untuk memberi sokongan yang padu dan tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan Sarawak dan GPS yang diterajui Abang Johari.

Katanya ucapan yang sering dikatakan Abang Johari iaitu ‘Sarawak mesti ditadbir oleh anak Sarawak sendiri’ harus menjadi ingatan semua.

Dalam pada itu, Huang yakin Kerajaan Negeri pimpinan Abang Johari mampu melonjak dengan lebih jauh dan berjaya lagi demi kemakmuran, kesejahteraan, ekonomi dan sebagainya.

“Kita yakin dan kita semua telah nampak kesungguhan, keikhlasan dan kecekalan Abang Johari dalam pentadbirannya yang terurus.

“Keberhasilan dan pencapaian semakin jelas dan nyata kita lihat dari hari ke hari,” ujar beliau. —DayakDaily