Hubungan erat rakyat berbilang kaum dan agama menjadi kebanggaan Sarawak, kata Baru

Baru (lima kanan) mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2020 kepada tetamu di majlis itu. Turut kelihatan See (empat kiri) dan Zuraida (lima kiri).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Jan: Hubungan erat di antara rakyat berbilang kaum dan agama di Sarawak menjadi contoh kepada negeri lain, kata Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian.

Menurut beliau, persefahaman yang telah lama wujud ini telah menjadi kebanggaan semua rakyat Sarawak.


“Untuk kebanyakan rakyat Malaysia, Sarawak adalah contoh terbaik dari sudut keharmonian hubungan di antara kaum.

“Sarawak sering muncul yang terbaik dan ia adalah kebanggaan setiap rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran ADUN Batu Lintang See Chee How di Perkarangan Pejabat PKR Negeri di Batu 3 di sini , hari ini.

Dengan perpaduan dan keharmonian itu, Baru mahu ia diteruskan bukan hanya di Sarawak tetapi di seluruh Malaysia dalam melangkah ke tahun 2020.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Naib Presiden PKR (Pusat) Zuraida Kamaruddin.

Majlis dihadiri lebih 300 orang termasuk penduduk berdekatan, penyokong dan ahli PKR. —DayakDaily