Persimpangan ke Pusat Komersial Ee Ann di Batu 7 akan dibina dua lorong, kata Lo

Lo (empat dari kanan) mendengar penerangan daripada Siti semasa lawatan ke persimpangan Pusat Komersial Ee Ann di Batu 7 yang akan dibina dua lorong.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 26 Okt: Persimpangan ke Pusat Komersial Ee Ann di Batu 7 dari jalan utama Lebuhraya Pan Borneo Kuching-Serian adalah bersifat sementara.

Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan(MPP) Lo Khere Chiang berkata, persimpangan tersebut akan dinaiktaraf kepada dua lorong setelah kerja-kerja pembinaan jalan siap.


Justeru, Lo yang juga Adun Batu Kitang mengajak pihak pembangkang untuk bekerjasama dalam memastikan kelancaran pembinaan jalan tersebut dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.

“Masalah kesesakan lalulintas yang dihadapi pada masa sekarang hanyalah sementara sahaja.

“Setelah jalan dan jejambat Batu 7 siap dibina, kesesakan ini dikurangkan,” katanya ketika ditemui pada lawatan ke persimpangan tersebut di Batu 7 hari ini.

Lo berkata demikian sebagai menjawab kritikan Adun DAP Kota Sentosa Chong Chieng Jen bahawa pembinaan jalan dan jejambat di Batu 7 telah mengakibatkan kesesakan teruk di persimpangan ke Pusat Komersial Ee Ann.

Chong yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak pada satu media di Kuching baru-baru ini turut menuduh pihak berkaitan tidak mempedulikan aduan para peniaga di pusat komersial tersebut di mana perniagaan mereka
terkesan akibat kesesakan yang berlaku.

“Saya telah merujuk kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan mereka memaklumkan bahawa persimpangan itu nanti akan dibina dua lorong.

“YB Chong tidak merujuk kepada JKR dan membuat kesimpulan bahawa JKR tidak mengambil langkah-langkah yang patut untuk mengurangkan kesesakan lalulintas.

“Saya juga telah meminta pihak JKR untuk meneliti kemungkinan mewujudkan satu lagi persimpangan yang menghubungkan pusat komersial Ee Ann ke jalan utama,” ujar Lo.

Dalam pada itu, Lo menyeru agar Chong untuk mengoptimakan usaha beliau membawa sesuatu yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat dan tidak untuk kepentingan politik semata-mata.

Turut serta pada lawatan tersebut Kaunselor MPP Wilfred Yap dan Jurutera Awam Kanan Unit Lebuhraya Pan Borneo (JKR Sarawak) Siti Rafizah Mohd Kasiran. — DayakDaily