Persidangan ASFM Tripartite 2018 akan diadakan di Kuching, Disember 14-15

Dr Chin (barisan kedua, tengah) bersama sukarelawan dan ahli jawatankuasa persidangan AFSM Tripartite 2018 di BCCK, Sejingkat, di Kuching.

KUCHING, Ogos 14: Academy For Silent Mentor (AFSM) akan menganjurkan Persidangan ASFM Tripartite 2018 yang akan mendedahkan pengetahuan dan teknologi terkini merawat tumor kanser mengunakan tenaga sejuk melampau atau “cryosurgery” di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sejingkat, di sini, dari Disember 14 hingga 15 depan.

Pengerusi Persidangan AFSM Tripartite 2018, Professor Dr Chin Kin Fah berkata persidangan itu terbahagi tiga iaitu Persidangan Akademik Bagi Cryosurgery Masyarakat Asian, Persidangan Tahunan Inovasi Kanser dan Persidangan Tahunan Mengenai Kemanusian, Bioetika dan Jangkauan Perubatan.

“Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing telah bermurah hati menerima jemputan kami sebagai tetamu kehormat yang akan merasmikan upacara pembukaan secara besaran persidangan terbabit serta menyaksikan persembahan rawatan minimum invasif tumor mengunakan tenaga sejuk melampau atau cryosurgery,” katanya ketika mengadakan sidang media mengenai persidangan terbabit yang akan kali pertama di bandaraya ini di BCCK, Sejingkat, di sini, hari ini.


Juga menghadiri sidang media itu ialah Timbalan Dekan Fakuliti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Professor Dr Mohammad Zulkarnaen Ahmad Narihan, wakil dari Royal College Of Physicians dan Surgeons of Glasgow, Professor Dr Clarence Lei Chang Moh, pengerusi Jawatankuasa Saintifik AFSM Tripartite 2018, Professor Dr Charles Anthony Rhodes dan ahli Jawatankuasa Saintifik AFSM Tripartite 2018, Dr Isabel Fong Lim.

Dr Chin yang juga pengasas ASFM berkata persembahan rawatan cryosurgery terbabit akan dilakukan pakar Malaysia, Professor Basri Abdullah dari Universiti Malaya dan seorang pakar jemputan, Professor Xiao Yue Yong yang merupakan ketua doktor dari Hospital Umum Tentera Pembebasan Rakyat China terhadap seorang pesakit kanser tempatan yang ditaja Medilife dan Interventional Oncology Solutions.

“Sebagai jurubedah umum laparoskopi invasif minimum, saya sudah menyaksikan manfaat pengunaan tenaga inovatif terbabit bagi menyingkirkan tumor dibawah bimbingan laparoskopi, CT atau ultrasound dan menyaksikan bagaimana pantasnya pesakitnya pulih,” katanya.

Katanya persidangan ini juga akan mengumpulkan jurubedah, radiologi, ahli onokologi, saintis, pekerja sosial, kaunselor, bekas pesakit kanser dan penjaga pesakit kanser dan pesakit kanser dengan menjangkakan seramai 400 peserta terbabit dari rantau Asia Pasifik.

Manakala Persidangan Tahunan Mengenai Kemanusian, Bioetika dan Jangkauan Perubatan yang dianjurkan bersama kerusi Organisasi Pendidikan, Keilmuan, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco)-Bioethics dan Royal College Of Physicians and Surgeons Of Glasgow pula menjangkakan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menjalankan program jangkauan perubatan dan sokongan sosial.

Dr Chin yang berasal dari India Street di bandaraya ini berharap AFSM walaupun sebagai institusi pendidikan bukan mencari keuntungan akan mendapat lebih banyak penajaan bagi menganjurkan persidangan itu yang kali pertama di bandaraya ini terutama dari syarikat berkaitan kesihatan dan perubatan.

Katanya sempena persidangan itu, AFSM juga akan mengumpulkan seramai 41 sukarelawan terdiri dari tiga perundingan kanan pakar bedah umum, seorang perunding gastroenterologist, tujuh orang pengamal perubatan Cina tradisional, dua pengamal ultrasound, tujuh jururawat senior disamping pegawai perubatan, pelajar graduan perubatan bagi mengadakan program saringan kesihatan dengan teknologi terkini di Hospital Kapit dari Ogos 22 hingga 30 depan.

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Saintifik AFSM Tripartite 2018, Dr Charles berkata saintis dan doktor dari negara ini, Australia dan United Kingdom juga dijangka akan menyertai persidangan terbabit.

“Kami akan ada pakar dalam bidang kanser yang akan berbicara tentang pelbagai topik termasuk penyiasatan laluan molekular bagi kanser di dada, kepala, tengkuk dan usus,”katanya.

Selain itu mereka ada pakar dari Unimas, dan University Of Kent dari United Kingom bagi membicarakan potensi pengunaan produk semujadi sebagai agen anti-kanser dengan pakar dari Pusat Biodiversiti Sarawak akan mendedahkan keluasan sumber biodiversiti Sarawak yang mungkin boleh mengandungi agen anti-kanser.

Selain itu, mereka juga akan mengadakan bengkel pra-persidangan terbabit di Pusat Jantung Sarawak dan Kampus Bandaraya Unimas pada Disember 12 hingga 13 depan.

Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman www.afsm2018.com atau menelefon talian 016-6795367 / 03-42529100 atau email: afsmexecutive@gmail.com. — DayakDaily