Persiapan Aidilfitri tiga sekeluarga musnah selepas tiga rumah terbakar di Balingan

Kelihatan anggota Bomba sedang memadam kebakaran yang memusnahkan sepenuhnya tiga buah rumah dalam kejadian kebakaran melibatkan empat buah rumah di Kg Masjid, Balingan.

KUCHING 12 Mei: Persiapan tiga keluarga untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri esok musnah selepas rumah yang didiami mereka di Kampung Masjid, Balingian musnah dalam satu kebakaran pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata, kebakaran yang berlaku sekitar jam 9 pagi itu memusnahkan sepenuhnya tiga buah rumah manakala sebuah lagi rumah hanya terjejas 10 peratus sahaja daripada keseluruhan strukturnya.

“Makluman mengenai kejadian terbabit diterima kawalan JBPM Mukah daripada panggilan terus daripada Balai Polis Balingan memaklumkan berlaku kebakaran dikampung berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.


Katanya, kerahan unit dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah bersama lapan anggota diketuai PBK II Abu Hady Harry diarahkan ke lokasi kejadian bagi operasi pemadaman kebakaran.

Kelihatan anggota Bomba sedang memadam kebakaran yang memusnahkan sepenuhnya tiga buah rumah dalam kejadian kebakaran melibatkan empat buah rumah di Kg Masjid, Balingan.

“Lokasi kejadian terletak kira-kira 60 kilometer dari BBP Mukah dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) terdekat dengan kampung berkenaan adalah PBS Balingan.

“Sementara menunggu ketibaan anggota di lokasi kejadian, PBS Balimgan turut dihubungi serta diarahkan bagi tindakan awal ke tempat kejadian,” katanya.

Tambah Jurucakap PGO JBPM, kejadian tersebut membabit 17 mangsa yang mana enam mangsa mendiami rumah pertama, tiga mangsa mendiami rumah kedua, dua mangsa mendiami rumah ketiga manakala enam lagi mangsa mendiami rumah keempat.

Katanya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan dan semua penghuni terlibat berjaya menyelamatkan diri sewaktu kejadian kebakaran terbabit.

“Siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa,” katanya. — DayakDaily