Pedaan di Telang Usan dan Pekan Tatau di Bintulu diisytihar kawasan baharu wabak rabies

KUCHING, 12 Mei: Dua lagi kawasan iaitu Pedaan di Telang Usan dan Pekan Tatau di Bintulu telah diisytihar sebagai kawasan baharu wabak rabies.

Menurut laporan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPVS), Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah telah mengisytiharkan kedua-dua kawasan sebagai kawasan ke-68 dan ke-69 wabak rabies.

“Pengistiharan ini adalah berikutan kes positif ujian makmal keatas dua anjing liar yang ditangkap semasa survelan aktif di kawasan berkenaan.

“Memandangkan kedua-dua kawasan ini berada di luar 10km radius kawasan yang telah diisytiharkan, maka ianya kawasan baru wabak rabies yang ke-68 dan ke-69,” kata JPVS.

Setakat ini, sebanyak 69 kawasan telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies sejak Julai 2017 iaitu Kuching dengan tujuh kawasan, Samarahan (4), Serian (22), Sri Aman (6), Betong (3), Sarikei (5), Sibu (2), Kapit (1), Mukah (6), Bintulu (5), Miri (7) dan Limbang (1).

JPVS mengingatkan pemilik anjing supaya memastikan anjing mereka diberi suntikan vaksin anti-rabies setiap tahun yang boleh didapati dimana-mana Pejabat Veterinar atau klinik haiwan swasta.

Kegagalan berbuat demikian boleh disabit kesalahan dibawah Seksyen 40, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Denda tidak melebihi RM2,500 dan anjing boleh di tangkap dan ‘Targeted Removal’ sekiranya tanpa bukti pemvaksinan anti-rabies. — DayakDaily