KUCHING, 17 Dis: Persembahan artis popular dan pertunjukan bunga api bakal mewarnai Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 di Tebingan Kuching.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia adalah antara acara utama sambutan menuju kiraan detik 12 tengah malam.
Katanya, acara bakal dihadiri TYT Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Suasana acara Ambang 2025 bagi segmen rasmi bermula 10 malam hingga 12 tengah malam dihangatkan dengan persembahan daripada artis popular Zee Avi dan Hetty Koes Endang.
“Bagi segmen Pasca Persembahan, pengunjung akan dihiburkan oleh band tempatan, Akim & The Majistret,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.
Tambah Abdul Karim, pelbagai aktiviti kesenian akan diadakan di sebelah siang bermula 8:00 pagi hingga 6:00 petang.
Antaranya ialah Senamrobik-Senam Kenyalang, Persembahan Pelajar Kelas Bimbingan Seni (Kanak-Kanak & Dewasa) Majlis Seni Sarawak (MSS), Pameran dan Demonstrasi Seni Visual dan persembahan Simfoni Orkestra Negeri Sarawak (SONS) Junior.
Segmen Pra Persembahan akan berlangsung di Pentas Utama bermula jam 8:00 malam hingga 9:45 malam menyaksikan persembahan tarian pembukaan daripada kumpulan I-Cats Performing Arts.
“Acara diteruskan dengan persembahan nyanyian daripada penyanyi tempatan seperti Harris Mukhriz, Arfan, Harry Parren Ngau, Darren Jadriel Valentine, Norafizah Buseman, Ng Chien Chien, Roxy Ixzy, Aleysha & Ryan Zachary Van Der Horst dan Siti Hasmah.
“Pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan daripada band tempatan iaitu Excrozim Band dan juga persembahan Sketsa daripada Lan Perey & Ashweein Narayanan,” kata Abdul Karim. — DayakDaily