Persekitaran yang selamat dan sihat sebagai salah satu daripada hak asasi pekerja – JKKP Sarawak

Dr Nor Halim mengampaikan cederahati kepada Datu Khirudin.

KUCHING, 23 Mei: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia Peringkat Negeri Sarawak atau lebih sinonim dengan nama World OSH Day (WOD) bertempat di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak.

Majlis tersebut yang merupakan acara tahunan yang disambut pada setiap tahun pada 28 April telah disempurnakan oleh Pengarah JKKP Sarawak, Ir Dr Nor Halim Hasan.

Beliau berkata, WOD ini adalah bertujuan untuk mengenang kembali dan menghargai pekerja yang terlibat di dalam kemalangan dan penyakit pekerjaan dan mempromosikan budaya pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan.


“Selain itu, WOD juga diadakan bagi menyampaikan maklumat terkini berkaitan isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan disamping mewujudkan perkongsian maklumat pintar di antara kerajaan, majikan dan pekerja,” katanya ketika berucap di majlis tersebut hari ini.

Pada tahun ini, tema sambutan World OSH Day adalah “Persekitaran Kerja yang Selamat dan Sihat Merupakan Hak Asasi” atau “A Safe and Healthy Working Environment – A Fundamental Right”.

“Tema tersebut adalah sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa atau ILO.

“Tema tersebut dipilih selaras dengan ketetapan bersama di dalam ILO Convention No. 187: Promotional Framework for Occupational Safety and Health yang telah diratifikasi oleh Negara kita pada tahun 2012,” katanya.

Tambahnya, ia juga adalah untuk menjadikan bekerja di persekitaran yang selamat dan sihat sebagai salah satu daripada hak asasi pekerja.

“Persekitaran kerja yang selamat, sihat dan kondusif merupakan salah satu komponen di bawah Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia bagi menjadikan seseorang pekerja itu sihat, produktif, dan berinovasi.

“Ini seterusnya akan menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan diri pekerja dan organisasi secara total selaras dengan konsep Malaysia Madani yang menitik beratkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam sesi yang sama, Nor Halim juga merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan beliau kepada JBPM Sarawak kerana sudi memberikan ruang kepada pihaknya mengadakan sambutan WOD Peringkat Negeri Sarawak.

Beliau turut mengucapkan syabas ke atas pencapaian JPBM Negeri Sarawak ke arah Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Penghargaan juga diberikan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian di atas pencapaian tahap GRED A bagi audit yang telah dijalankan oleh pihak jabatan dalam majlis ini.

“JKKP menekankan kerjasama majikan, pekerja dan semua pihak berkepentingan untuk bersama-sama memastikan keselamatan dan kesihatan bagi mengelakkan kemalangan di tempat kerja,” katanya.

Hadri sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah JBPM Sarawak Datu Khirudin Drahman dan Pengurus NIOSH Sarawak Normiza Suhaili. — DayakDaily