SIBU, Julai 16: Golongan belia terutama lepasan sekolah menengah dan institut pengajian tinggi perlu didekati supaya menyertai persatuan belia untuk dijadikan pelapis kepimpinan pada masa depan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, golongan tersebut seterusnya boleh diberi peluang untuk memegang jawatan di peringkat jawatankuasa sebelum menjadi pemimpin penting pada masa akan datang.
Menurutnya, ia penting kerana setiap pertubuhan belia kini perlu berani melakukan proses peralihan kuasa untuk melantik pemimpin belia dalam menentukan hala tuju persatuan.
“Sehubungan itu, pemimpin pertubuhan belia perlu berfikiran terbuka dengan memberi laluan kepada muka-muka baru dalam barisan kepimpinan mereka.
“Ini kerana ia sebagai langkah memberi pengalaman dan mengasah bakat kepemimpinan muda untuk kebaikan sesebuah persatuan tersebut,” katanya dalam Majlis Ngiling Bidai Persatuan Belia Dayak Sarawak (Pebedas) di sini.
Dalam pada itu, Uggah menasihati agar Pebedas tidak terlibat dalam dunia politik dan tidak menyalahgunakan persatuan yang diwujudkan sebagai platform untuk berpolitik.
Jelasnya, perbuatan seumpamanya adalah tidak bertanggungjawab dan sepatutnya setiap persatuan memberi tumpuan terhadap matlamat, visi dan objektif penubuhan persatuan itu.
“Langkah itu mustahak kerana persatuan tidak wajar digunakan oleh mana-mana pihak untuk berpolitik sama ada bagi mencapai kepentingan peribadi mahupun kumpulan.
“Kalau ingin juga berpolitik, mana-mana individu bukannya persatuan haruslah menggunakan saluran yang betul,” katanya.
Sementara itu, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah mahu Pebedas supaya membantu golongan belia Dayak yang berhijrah ke kawasan bandar untuk mencari pekerjaaan.
“Penghijrahan kumpulan beliau dari luar bandar ke bandar kadang-kadang menyebabkan mereka mengalami kesulitan dengan persekitaran yang baharu,” katanya lagi. — DayakDaily