Oleh Muhammad Akmal Rizki
KUCHING, Mac 23: Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) berharap atlet skuad sepak takraw yang terpilih menggalas cabaran di temasya Sukan Malaysia (Sukma) XX Johor 2020 sentiasa berada dalam keadaan sihat.
Paling penting dijauhi wabak jangkitan Covid-19 yang situasinya kian membimbangkan ketika ini, demikian menurut Naib Presiden PSS, Fudin Chee ketika dihubungi hari ini.
Katanya, sejajar dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan pihak kerajaan, PSS turut mengambil langkah drastik dengan menghentikan semua latihan atlet selama 14 hari.
“Kita berharap pemain dapat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan sebelum ini.
“Sebagai mana diketahui, latihan kedua-dua pasukan lelaki dan wanita sebelum ini yang berpangkalan di Miri dan kesemua pemain sudah pulang ke rumah masing-masing,” ujar Fudin.
Apa pun, katanya, pihaknya belum dapat memberi gambaran bila sesi latihan akan disambung seperti biasa.
Ini kerana menurut Fudin, segalanya bergantung kepada perkembangan semasa masalah yang melanda negara ketika ini.
“Kita tengok selepas berakhir tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 31 ini, baru dapat diketahui bila latihan kembali bersambung,” jelas Fudin lagi.
Untuk rekod, sepak takraw berjaya menyumbang dua pingat kepada kontinjen Sarawak pada Sukma 2018 yang berlangsung di Perak iaitu pingat emas menerusi beregu wanita dan gangsa dalam acara berpasukan wanita. — DayakDaily