Persatuan Kedayan Limbang bakal miliki premis sendiri

Awang Tengah (enam dari kanan) menyerahkan surat kelulusan tanah kepada Sahat sambil disaksikan tetamu lain.

KUCHING, Ogos 4: Penantian Persatuan Kedayan Limbang untuk memiliki premis mereka sendiri bakal menjadi kenyataan dengan penyerahan surat kelulusan tanah semalam.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyerahkan surat tersebut kepada Pengerusi Persatuan Kedayan Limbang, Sahat Bagol dalam Majlis Makan Tahunan Perdana yang diadakan di Kampung Bukit Luba, di Limbang.

Tanah seluas 1.64 ekar tersebut, menurut Awang Tengah, membolehkan persatuan memiliki premis mereka dan menyeru persatuan tersebut mengemukakan pelan pembangunan mereka kelak.


Di majlis yang sama, Awang Tengah mengingatkan masyarakat Kedayan tentang betapa pentingnya komuniti tersebut bersatu dalam memastikan Sarawak dipacu menuju kemajuan.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak bersikap adil kepada semua dan tiada suara dari kaum minoriti yang tidak didengar.

“Sebagai contoh, kita memiliki menteri dari suku kaum Kedayan di dalam kabinet yang jelas menunjukkan betapa kerajaan negeri memberikan peluang sama rata untuk semua bersuara,” katanya.

Ketibaan Awang Tengah ke majlis makan disambut ahli-ahli Persatuan Kedayan Limbang.

Untuk bergerak bersama, kata Awang Tengah, komuniti memerlukan suara yang senada dan yakin hanya anak Sarawak yang mampu membangunkan negeri ini.

Pada majlis tersebut beliau turut mengumumkan dana sebanyak RM30,000 kepada persatuan tersebut untuk menganjurkan program mereka.

Turut hadir isteri beliau Datuk Dayang Morliah Awang Daud, Menteri Muda Pertanian merangkap ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, ADUN Batu Danau Paulus Palu Ngumbang dan ADUN Lambir Ripin Lamat. — DayakDaily