Perkelahan bersama keluarga berakhir tragedi, remaja lelaki ditemui mati lemas

Lokasi mangsa ditemui mati lemas.

Oleh Dean Adam

BINTANGOR, Ogos 4: Seorang remaja lelaki ditemui lemas selepas dihanyutkan air semasa mandi sungai di kawasan rumah panjang di Kampung Nanga Matop, Julau dekat sini hari ini.

Mangsa, 14, dijumpai oleh penduduk kampung sebelum ketibaan pasukan bomba.


Difahamkan, sebelum kejadian mangsa bersama ahli keluarganya telah berkelah di kawasan sungai berkenaan.

Mangsa dikatakan tidak pandai berenang, manakala adiknya yang turut dihanyut arus selamat dalam kejadian itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.31 petang.

Katanya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

Mangsa yang ditemui mati lemas.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati mangsa telah ditemui oleh penduduk kampung.

“Mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami pendarahan di telinga dan mulut, dan telah disahkan meninggal dunia oleh petugas dari Klinik Kesihatan Julau,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, selepas mendapatkan maklumat daripada ahli keluarga, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 5.15 petang,” katanya. — DayakDaily