Permohonan Jugah Muyang sertai semula PRS belum diluluskan

Salang (tiga dari kanan) menerima surat bantahan dari Agas (tiga dari kiri) dan Pengerusi PRS Englilili Roy Gingkoi (dua dari kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 9 Ogos: Pandangan pemimpin dari dua bahagian iaitu Engkilili dan Batang Ai diberi keutamaan dalam membuat keputusan berhubung permohonan Jugah Muyang menyertai semula Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Presiden PRS Datuk Joseph Salang Gandum berkata, setakat ini permohonan MP Lubok Antu (Jugah Muyang) masih belum diluluskan walaupun permohonan diterima pada Februari lepas.


Katanya, ahli majlis tertinggi PRS akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi memutuskan perkara tersebut.

“Kita belum mempertimbangkan permohonan yang diterima pada bulan Februari lepas, parti ketika itu dalam persiapan untuk mengadakan Persidangan Perwakilan Tritahunan yang diadakan di Sibu pada April lepas.

“Kita akan mengadakan mesyuarat ahli majlis tertinggi parti dalam masa terdekat , tetapi kita belum menetapkan tarikh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PRS di sini, hari ini.

Terdahulu Salang telah menerima kunjungan rombongan dari bahagian Engkilili dan Batang Ai yang menyerahkan surat bertajuk ‘Bantahan Jugah Muyang sertai GPS dan PRS’.

Menurut beliau, bantahan mereka bukan sahaja berhubung tindakan Jugah yang tidak menyokong GPS semasa pilihanraya negeri lepas.

“Tetapi yang paling dikesali ialah Jugah telah membantu, menaja calon bebas menentang GPS di DUN Batang Ai dan DUN Engkilili.

“Kita tidak kisah beliau menang pada Pilihanraya Umum Ke 14 mengalahkan calon kita, tetapi kita ambil berat penglibatannya di kedua-dua DUN pada PRN lepas,” ujar Salang.

Tambah beliau lagi, PRS tidak menghadapi tekanan daripada mana-mana pihak untuk menolak atau menerima permohonan Jugah.

Dalam pada itu, wakil rombongan iaitu Timbalan Pengerusi Bahagian Batang Ai Cr Gayih@Agas Thomas berkata kedua-dua bahagian menolak sekeras-kerasnya penyertaan semula Jugah di dalam PRS.

Menurut Agas, pada PRN lepas Jugah telah menaja calon bebas John Linang di Dun Batang Ai dan Gemong Batu di DUN Engkilili.

Sementara itu, Jugah terdahulu berkata, beliau memilih PRS kerana Parlimen Lubok Antu merupakan kerusi tradisi parti itu dan berharap dapat terus empertahankannya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pada PRU14, Jugah yang bertanding sebagai calon bebas, memenangi kerusi Lubok Antu dengan kelebihan 1,059 undi. — DayakDaily