Perlantikan PBHAMSB mengikut tatacara perolehan dibenarkan kerajaan

Foto menunjukkan seksyen Lundu Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak.
Advertisement

KUCHING, 10 Sep: Perlantikan PBH Asset Management Sdn Bhd (PBHAMSB) bagi melaksanakan penyenggaraan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak dibuat mengikut tatacara perolehan yang dibenarkan oleh kerajaan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan berdaftar dalam Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK).

Ia termasuk memenuhi Perakuan Pendaftaran Kontraktor Tempatan (PPK) di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia.

Advertisement

“Penelitian telah dibuat terhadap syarikat PBHAMSB termasuk melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mendapati bahawa syarikat tersebut berdaftar dan beroperasi di Kuching Sarawak.

“PBHAMSB telah terlibat secara langsung dalam pembangunan LPB Sarawak sejak permulaan projek tersebut pada tahun 2015.

“Berdasarkan pengalaman ini, syarikat telah dianugerahkan kerja-kerja penyenggaraan untuk lebuhraya sepanjang 829km, termasuk komitmen untuk pembangunan vendor dan latihan graduan di bawah program Protege,” katanya.

LPB Sarawak yang mula dibina pada tahun 2015 telah pun hampir 100 peratus siap pembinaannya.

MOF melalui surat bertarikh 8 Sept, 2022 telah meluluskan pelantikan syarikat PBHAMSB bagi melaksanakan penyenggaraan LPB Sarawak selama tiga tahun mulai 1 Sept 2024 sehingga 31 Ogos 2027.

KKR menjelaskan bahawa kontrak ini hanyalah bersifat sementara dan merupakan langkah interim bagi memastikan LPB Sarawak yang telah siap terus dapat disenggara dengan baik. — DayakDaily

Advertisement