MARUDI, 21 Feb: Projek naik taraf jalan Ulu Tinjar tidak ditarik balik atau dibatalkan sebaliknya projek tersebut bakal dilaksanakan lebih awal daripada jangka masa yang ditetapkan.
Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil berkata, keputusan itu diambil susulan perbincangan bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini.
“Projek naik taraf jalan Ulu Tinjar dari simpang Lapok ke Long Tisam akan diawalkan pelaksanaannya dan satu mesyuarat kordinasi akan diadakan tidak lama lagi untuk membincangkan perkara ini.
“Projek ini merupakan penyelesaian jangka masa panjang kepada penduduk di kawasan Ulu Tinjar dan jalan ini akan dinaik taraf kepada jalan berturap. Jalan-jalan masuk ke kampung-kampung juga akan dinaik taraf,” katanya menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Dalam perkembangan sama, Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Marudi turut melakukan tinjauan terhadap kerja baik pulih jalan terbabit yang membabitkan kos bernilai RM700,000.
Jelasnya, pembaikan tersebut merupakan penyelesaian jangka pendek bagi membolehkan kenderaan awam menggunakan laluan tersebut.
“Peruntukkan tambahan juga telah kita pohon untuk tujuan tersebut disebabkan banyak lokasi jalan yang rosak di sepanjang laluan ini.
“Pada masa sama kita menasihati orang ramai untuk sentiasa berhati-hati ketika menggunakan jalan ini, dan berharap pihak ladang yang menggunakan jalan ini juga memberikan kerjasama dalam memastikan keselamtan pengguna terlibat terjamin,” katanya. — DayakDaily