Perkhidmatan kesihatan tumpuan utama kerajaan — Dr Abdul Rahman

Dr Abdul Rahman menandatangani plaq sebagai Simbolik Perasmian Bangunan Baharu Klinik Kesihatan Pantai Damai.

KUCHING, 11 Jan: Kerajaan terus komited menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat.

Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, tumpuan perkhidmatan meliputi kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar.

“Tujuannya adalah supaya tahap kesihatan rakyat ditingkatkan terutama bagi memastikan rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang terbaik,” kata Dr Abdul Rahman.


Beliau berkata demikian di majlis perasmian untuk Bangunan Baharu Klinik Kesihatan Pantai Damai di Bandar Baru Semariang di sini, hari ini.

Menurut Dr Abdul Rahman yang juga Adun Pantai Damai, pendekatan yang diambil oleh Kementerian Kesihatan ialah memastikan keselesaan pesakit turut dipertingkatkan.

Katanya, ia sekaligus membantu meningkatkan tahap kesihatan individu, keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.

Berhubung Klinik Kesihatan Pantai Damai, Dr Abdul Rahman berkata ia memberikan perkhidmatan kesihatan kepada lebih 100 pesakit sehari.

“Klinik memberi manfaat kepada penduduk dari Kampung Rampangi, Pasir Pandak, Pasir Panjang serta sekitarnya,” ujar beliau. — DayakDaily