Perkhidmatan bas pelancong percuma mungkin dimulakan tidak lama lagi

Abang Johari speaking during Pesta Warisan Melayu near Satok, Kuching.

KUCHING, Okt 29: Kerajaan negeri bercadang memulakan perkhidmatan bas yang membawa pelancong secara percuma mengelilingi tempat menarik di sekitar bandaraya ini tidak lama lagi.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian dan mendedahkan salah satu destinasi yang akan dilalui bas tersebut ialah kampung Warisan Melayu di sepanjang Sungai Sarawak.

“Tidak lama lagi mungkin kita ada bas yang membawa pelancong yang mengelilingi bandaraya Kuching, termasuklah ke kawasan (kampung) Warisan Melayu. Bas ini akan percuma untuk pelancong; orang kampung boleh juga menaiki bas ini,” katanya ketika merasmikan Pesta Warisan Melayu 2018 di Perkarangan Kompleks Sukan Satok, SLPAS Kuching, Jalan Muhibah, Satok, di sini, semalam.

Abang Johari bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai perkhidmatan bas tersebut dan mahu penduduk kampung Warisan Melayu di bandaraya ini bersedia mempamerkan budaya masyarakat mereka kepada pelancong.

Katanya salah satu budaya yang menarik ialah pemakaian kain keringkam dan mencadangkan kain berkenaan yang dipakaikan wanita Melayu dijadikan penduduk kampung itu sebagai cenderahati yang dijual kepada pelancong.

“Kain keringkam ini boleh dibuat saiz besar, tetapi sekiranya dijadikan cendeharahati adalah lebih sesuai bersaiz kecil sahaja dan dibingkaikan,” katanya.

Disamping itu, Abang Johari mendedahkan tahun ini sahaja sudah seramai 4.8 juta orang pelancong melawat negeri ini dan menjangkakan lebih ramai lagi akan melawat negeri ini pada tahun hadapan.

Ini kerana pihaknya menjangkakan tidak lama lagi banyak laluan penerbangan baharu ke bandaraya ini akan bermula, antaranya penerbangan AirAsia bagi laluan Kuching-Jakarta-Bangkok dan Royal Brunei Airlines (RBA) yang memulakan penerbangan dari Bandar Seri Begawan ke bandaraya ini sebanyak empat kali seminggu.

Selain itu, bagi memudahkan urusan mempromosi dan menguruskan visa pelancong yang mahu melawat negeri ini, beliau mendedahkan yang kerajaan negeri sudah membuka pejabatnya di Jalan Robinson di Singapura dan di Bandar Seri Begawan serta dua hari lepas Indonesia juga memberikan kebenaran negeri ini membuka pejabatnya di Pontianak. — DayakDaily