Lelaki cemas terjatuh dari tingkat dua surau

Keadaan mangsa selepas terjatuh dari tingkat dua sebuah surau.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 29: Seorang lelaki berdepan dengan detik mencemaskan apabila terjatuh dari tingkat dua sebuah surau di Kampung Lintang, Jalan Haji Hashim Jaafar di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang itu, mangsa yang berusia 37 tahun mengalami kecederaan di bahagian kakinya.


Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang melakukan kerja-kerja membaik pulih surau di kampung berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan pada pukul 1.54 petang.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi susulan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati mangsa dalam keadaan kesakitan sebelum memberikan rawatan awal.

“Mangsa mengadu sakit pada kedua-dua belah kakinya ketika jatuh, namun dalam keadaan sedar,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, pasukan bomba dari Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) seterusnya memberikan rawatan awal kepada mangsa.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi tamat selepas mangsa menerima rawatan di hospital,” katanya. — DayakDaily