Perkhidmatan Ar-Rahnu bantu selesaikan isu pinjaman Ah Long, kata Wan Junaidi

Wan Junaidi(dua dari kiri) menyampaikan sijil koperasi kepada wakil Koperasi Veteran Tentera Kuching Berhad pada program tersebut.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Julai: Perkhidmatan Ar-Rahnu yang merupakan sistem gadaian Islam akan diperluaskan ke seluruh negara, tegas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, ia merupakan jalan penyelesaian kepada masalah pinjaman Ah Long yang mengenakan faedah tinggi kepada peminjam.


“Perkhidmatan Ar-Rahnu ditubuhkan oleh kerajaan pada pertengahan tahun 2000 untuk mengatasi masalah Ah Long iaitu peminjam wang yang menekankan peminjam dengan kadar faedah tinggi.

“Apabila saya mengambil alih MEDAC tahun ini, saya dapati pembangunan Ar-Rahnu agak perlahan dan saya minta kementerian tekankan pembangunan Ar-Rahnu sebagai instrumen kepada rakyat memperolehi sumber kewangan segera pada jumlah kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Program CSR@Komuniti Parlimen Santubong  bersempena Program Pembangunan Kapasiti dan Penggalakan Koperasi di Kampung Boyan, Petra Jaya hari ini.

Menurut Wan Junaidi, perkhidmatan Ar-Rahnu sangat popular di Kelantan dan Terengganu tetapi masih belum dikenali di Sarawak dengan hanya satu cawangan diwujudkan di negeri ini, setakat ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa MEDAC telah mencadangkan penubuhan koperasi di semua masjid dan surau di seluruh negara.

Beliau yang juga MP Santubong berkata, perbincangan lanjut mengenai cadangan itu akan diadakan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Kertas cadangan bagi penubuhan koperasi masjid dan surau ini sedang dirangka dan akan diedarkan kepada semua kementerian untuk pertimbangan.

“Saya yakin Menteri Hal Ehwal Agama akan menerima cadangan ini dengan terbuka kerana kebaikannya begitu besar kepada masyarakat terutama kumpulan B40,” kata Wan Junaidi.

Pada program CSR tersebut, Wan Junaidi menyampaikan bantuan kepada enam daripada 150 orang penerima dari kawasan Parlimen Santubong.

Bagi 144 lagi penerima CSR akan dibuat pada 19 dan 20 Julai dengan barangan CSR akan dihantar melalui pejabat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai, Demak Laut dan Tanjung Datu.

Wan Junaidi turut menyampaikan sijil koperasi kepada beberapa koperasi yang telah berjaya ditubuhkan dalam tempoh terdekat ini-DayakDaily.