Perkeso gesa individu bekerja sendiri mendapatkan perlindungan SKSPS

Berdiri dari tiga dari kiri: Philip dan Wee pada lawatan ke kaunter pendaftaran Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di Pasar Kenyalang.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 7 Okt: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menggalakkan setiap rakyat terutama yang bekerja sendiri diberi perlindungan dengan mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Pengarah Perkeso Sarawak Philip Sangkan berkata, individu bekerja sendiri yang mencarum di bawah SKSPS akan mendapat perlindungan bermula dari tarikh dan masa caruman dibayar.


“Orang berinsurans bekerja sendiri yang ditimpa bencana pekerjaan sendiri boleh mendapatkan rawatan perubatan secara percuma di klinik panel Perkeso atau membuat tuntutan bayaran ganti belanja kos rawatan di pejabat Perkeso.

“Sebaik sahaja orang berinsurans keluar dari rumah untuk bekerja, mereka dilindungi oleh skim ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu beliau bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk Wee Hong Seng melawat kaunter pendaftaran SKSPS di Pasar Kenyalang di sini.

Philip Sangkan

Tambah Philip, rakyat boleh memilih kaedah pembayaran caruman secara bulanan atau tahunan untuk menikmati perlindungan SKSPS.

Katanya, caruman minima adalah sebanyak RM13.10 sebulan atau RM157.20 setahun.

“Setakat 4 Oktober 2020, seramai 3,215 orang bekerja sendiri telah mendaftar dan mencarum di bawah skim ini di Sarawak dengan kutipan sebanyak RM591,931.

“Ia adalah sesuatu yang amat menggalakkan dengan semakin ramai rakyat telah sedar terhadap keperluan mendapatkan perlindungan,” ujar Philip.

Dalam pada itu, Wee berkata program yang sama juga akan diadakan pada keesokan hari iaitu di Pasar Komuniti Stutong bermula jam 9 hingga 11 pagi manakala di Pasar Petanak akan diadakan pada 12 Oktober.

Justeru, beliau menyeru penduduk yang tinggal berhampiran untuk tampil mendaftar SKSPS. — DayakDaily