This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 20 Jun: Agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan ekosistem pembangunan sekolah daif akan dikumpulkan bagi memahami isu dan menganalisis punca masalah.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berkata, cadangan penambahbaikan akan dibangunkan secara bersama pemegang taruh yang terlibat.
“Cadangan-cadangan ini akan diuji ke atas projek rintis yang terpilih bagi menilai keberkesanannya.
“Seterusnya sekiranya projek rintis tersebut berjaya, inisiatif ini akan diperluaskan untuk projek-projek lain,” kata MPC.
MPC bersama dengan 20 agensi persekutuan dan negeri telah terlibat dalam sesi bengkel bagi memperkasa proses pelaksanaan projek pembangunan sekolah daif.
Semasa bengkel tersebut, para peserta ditugaskan untuk memeta proses keseluruhan pembangunan sekolah daif di negeri Sarawak serta membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi.
“Antara perkara yang dibincangkan dalam bengkel tersebut adalah isu-isu berkenaan dengan kelulusan pembangunan, utiliti, hal-hal tanah serta tatacara perolehan serta prosedur kerja sedia ada.
“Masyarakat terutama ibu bapa dan guru-guru mengharapkan inisiatif ini dilaksanakan dengan segera supaya manfaat boleh dirasai oleh pelajar-pelajar,” tambah MPC lagi. —DayakDaily