Perjuangan parti tempatan dalam GPS menjadi daya tarikan utama, kata Pemuda PBB

Fazzrudin (tiga dari kanan) bergambar bersama ADUN Batu Kitang, Lo Khere Chiang (tiga dari kiri) dan tetamu lain yang mengunjungi rumah terbukanya di DBP Sarawak, Petra Jaya, hari ini.
Advertisement

KUCHING, Jun 18: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yakin perjuangan parti tempatan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menjadi daya tarikan utama bagi rakyat negeri ini menyokong parti terbabit berbanding parti UMNO dan yang lain dari Semenanjung.

Timbalan Ketua Pemuda PBB, Fazzrudin Abdul Rahman berkata demikian mengulas kekhuatiran ramai terhadap UMNO selepas ini akan melebarkan sayapnya ke Sarawak berikutan tiada lagi Barisan Nasional (BN) Sarawak yang selama ini menjadi penghalang UMNO bertapak di negeri ini setelah empat parti utama Sarawak keluar dari BN dan menubuhkan GPS.

“Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah parti berasal dari Semenanjung, UMNO juga parti berasal dari Semenanjung. Kita perlu jelaskan kepada rakyat apa perjuangan parti kita sendiri, kita perlu menyakinkan masyarakat di Sarawak perjuangan kita dan seterusnya masyarakat terbabit akan dapat menilai sebelum menyokong atau bersama parti mana,” katanya ketika mengadakan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Advertisement

Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata GPS yang disertai PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) sebagai kumpulan parti tempatan juga mampu memperjuangkan hak rakyat Sarawak dengan lebih baik berbanding parti politik dari Semenanjung dan seterusnya dapat kekal diperlukan rakyat negeri ini.

“Kalau diperingkat negeri ini, empat parti yang bergabung dalam GPS terbabit akan memfokuskan perjuangannya kepada MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) iaitu memastikan hak warga Sarawak terjaga dan memastikan pembangunan negeri kita berasaskan acuan kita sendiri,” katanya.

Fazzrudin (kanan) membantu golongan kelainan upaya berkerusi roda yang menghadiri rumah terbukanya di DBP Sarawak, Petra Jaya, hari ini.

Sementara itu mengenai kenyataan Timbalan Ketua Menteri dan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing menyarankan GPS yang disertai empat parti utama Sarawak digabungkan menjadi satu parti pelbagai kaum sebelum pilihanraya negeri pada 2021, Fazzrudin berkata pihaknya menerima baik cadangan terbabit.

“Sebagai pemuda kami menerima apa juga cadangan yang memfokuskan kepada pembangunan negeri dan kebaikan masyarakat kita, tetapi sebelum kita pergi ke arah untuk membentuk satu parti pelbagai kaum sudah tentu ianya memerlukan asas yang baik bermula daripada setiap parti komponen itu sendiri,” katanya.

Katanya setakat ini PBB menpunyai asas baik yang begitu kukuh iaitu terbuka menerima sesiapa sahaja untuk masuk ke dalam parti dan mempunyai budaya menyelesaikan masalah dengan baik dikalangan ahli jika ada mengalami krisis atau isu. — DayakDaily

Advertisement