Perjalanan pulang rumah berakhir tragedi, wanita maut kereta masuk parit

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa.

SARIKEI, Dis 30: Perjalanan seorang wanita warga emas pulang ke rumahnya berakhir dengan tragedi apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu terhumban masuk ke dalam parit di Jalan Kim San, di sini awal pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi itu mengakibatkan mangsa, Wong Pik Kiong, 57, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan yang dialaminya.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 4.23 pagi.

Katanya, sebaik menerima laporan berhubung insiden itu, sepasukan tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei telah dikerahkan ke lokasi kemalangan untuk tindakan lanjut.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mangsa masih berada di dalam kereta Perodua Kenari yang dipandunya.


“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri sebelum anggota bomba mengeluarkannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong memberitahu, pasukan perubatan yang turut berada di lokasi kejadian kemudian mengesahkan kematian mangsa.

“Mayat wanita malang itu kemudian dibawa ke Hospital Sarikei untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis Sarikei mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Jelasnya, siasatan awal mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan itu.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily